Saturday, February 26, 2011

Saya Tak Mahu Jadi Dewasa


Dulu, saya nak cepat-cepat jadi dewasa
Boleh pakai kasut tumit tinggi
Boleh melaram, mekap-mekap muka
Boleh cepat kerja, sebab org slalu tanya apa cita-cita
Boleh pegi mana-mana saya suka
Boleh bercinta
Boleh balik rumah lewat malam
Banyak benda lah boleh buat kalau dah besar ni.
Lama-lama, baru saya perasan..
Saya dah tak baca komik doraemon, tapi baca majalah cleo
Saya dah tak main masak-masak tapi memang masak betul-betul
Saya dah lama dapat kunci 21
Saya dah boleh mengundi
Kahwin pun boleh, kalau saya nak.
Saya ingatkan best jadi dewasa ni
Saya boleh buat keputusan sendiri, kakak dan abang saya dah tak boleh marah saya
Saya bukan budak hingusan lagi tapi mahasiswi universiti
Universiti saya kat Eropah pulak tu, tak penah-penah saya fikir nak pergi overseas
Kalau pegi theme park, semua rides saya boleh naik, tiada halangan umur atau tinggi
Dulu saya buat karangan "Saya Seekor Nyamok" tapi baru-baru ni saya submit essay pasalforensic evidence in courts of law
Dulu saya mintak papa beli komputer sebab nak main games, tapi sekarang saya beli komputer untuk buat assignments dan macam-macam.
Rupa-rupannya...
Jadi dewasa ni...
Kena matang
Kena professional
Banyak tanggungjawab
Banyak masalah, lagi banyak dari masa remaja dulu
Banyak essay nak kene tulis
Banyak pakai duit
Tak boleh emosional tak bertempat
Kena cari makan sendiri
Kena buat keputusan, keputusan, keputusan dan keputusan
Kena kawan dengan semua orang, biarpun tak sama minat dengan kita
Kena berpada-pada kawan dengan berlainan jantina
And banyak lagi la kena,kena,kena,kena,kena dan kena..
Namun itulah sunnatullah
Saya kena hadapi dengan redha dan tabah.
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah; 286)

10 Petanda Dia Jodoh Kita


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Kepada Insan Bergelar Pemuda


Penulis masih ingat ketika mempelajari satu puisi di bangku sekolah dulu yang bertajuk ''Syair Tenaga Pemuda'', karya Gustam Negara, nama sebenarnya Harun Aminurrashid. Puisi ini mungkin dipelajari dengan perasaan bersahaja atau sambil lewa oleh kebanyakan pelajar, termasuklah penulis ketika itu. Namun, puisi ini membicarakan sesuatu yang sangat bernilai dan mengandungi isi yang sangat penting untuk difahami.
Sejarah telah membuktikan para pemuda merupakan agen kebangkitan umat manusia pada umumnya. Lihatlah pada sejarah kebangkitan mana-mana bangsa mahupun negara, maka kita akan dapati pemuda adalah golongan yang mewarnai perjalanan sejarah masing-masing, terutamanya pada era kemerdekaan. Sebagai contoh, revolusi Perancis yang telah menumbangkan kekuasaan Monarki, perjuangan pro demokrasi di RRC dan Burma serta medan Tiananmen di Beijing menjadi saksi keterlibatan para pemuda. Mantan presiden Indonesia, Soekarno yang menyedari hakikat ini pernah menyatakan, "Berikan aku 10 orang pemuda, maka aku akan goncangkan dunia."
Pemuda Islam.
Al Quranul Karim telah lama membicarakan peranan pemuda seperti dalam kisah Ashabul Kahfi(al-Kahfi ayat: 9-22), kisah Ibrahim a.s (al-Anbiya': ayat 60 dan al-Baqarah: ayat 258) dan kisah Ashabul Ukhdud seperti dinyatakan dalam hadis panjang riwayat Muslim, Ahmad dan an- Nasa'i berkenaan tafsir surah al Buruj.
Sirah nabawiyyah juga turut menyaksikan para sahabat memainkan peranan penting dalam memperjuangkan Islam terutamanya ''Assabiqunal Awwalun'' (orang-orang yang terdahulu beriman kepada Rasulullah s.a.w) yang pada umumnya masih muda. Penulis menyenaraikan beberapa nama para sahabat ketika itu walaupun terdapat sedikit khilaf tentang umur sebenar mereka. Antaranya Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam yang masing-masing berumur 8 tahun, Thalhah bin Ubaidillah (11), al Arqam bin Abil Arqam (12), Abdullah bin Mas'ud (14), Sa'ad bin Abi Waqash (17), Umar bin Khatthab (26), Ja'far bin Abi Thalib (18), Zaid bin Haritshah (20), Mushab bin Umair (24), Abu Bakar Ash Shiddiq (37), Hamzah bin Abdul Muthalib (42), dan sebagainya. Semua ini menjadi bukti bahawa para pemuda adalah sumber kekuatan kepada dakwah Islam dulu mahupun sekarang.
Sememangnya tidak dapat dinafikan secara psikologinya, manusia mencapai puncak hamasah(semangat) dan quwwatul jasad (kekuatan fizikal) pada usia muda. Berkenaan perkara ini, Imam Asy Syahid Hasan Al Banna pernah menyatakan,
"Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan dengan kuat keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dalamnya, semakin bersemangat dalam merealisasikannya, dan siap untuk beramal dan berkorban dalam mewujudkannya''.
Keempat-empat rukun ini yakni: ''(1) Keimanan, (2) keikhlasan, (3) semangat dan (4) amal merupakan ciri2-ciri yang terdapat pada diri pemuda, kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah hati yang peka, dasar keikhlasan adalah hati yang jernih, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah tekad yang kuat. Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri pemuda. Oleh sebab itu, sejak dahulu hingga sekarang, pemuda merupakan agen kebangkitan setiap umat, rahsia kekuatan pada setiap kebangkitan, dan pembawa bendera setiap fikrah." (Prof. Dr. Abdul Hamid Al Ghazali dalam buku Tiang-Tiang Kebangkitan Umat, m/s: 57).
Ibnu Jauzi turut menyatakan nasihatnya kepada para pemuda dalam kitabnya, Shifatush Shofwah, Jilid 4, m/s: 24 dengan kata-kata, "Wahai para pemuda, kerahkanlah potensi dirimu selagi masih muda kerana aku belum pernah melihat karya yang paling berharga selain yang dilakukan oleh generasi muda".
Penulis berharap kita dapat memuhasabah diri dengan mafhum hadis riwayat Tirmizi dan seumpamanya berkenaan setiap kaki anak Adam tidak akan berganjak pada hari kiamat sebelum ditanya 4 perkara, salah satunya adalah ke mana masa mudanya dihabiskan?. Hadis ini memberi peringatan bahawa masa muda kita akan ditanya kerana masa inilah lazimnya seseorang mempunyai keupayaan pada tenaga, masa atau harta untuk digunakan kepada kebaikan mahupun keburukan.
Kiriman ini tidaklah bermaksud menafikan kepentingan atau peranan selain para pemuda tetapi bertujuan menyuntik semangat dan menjadi perangsang kepada mereka yang bergelar pemuda termasuklah penulis sendiri.

Untukmu Adam Dan Hawa


Adam...
Kau bilang dirimu hebat dan kuat ibarat pahlawan,
Gagah perkasa seperti Badang,
Kau gunakan Hawa sebagai umpan,
Untuk membuktikan kelelakianmu yang hanya temberang.

Hawa...
Kau bangga dengan kecantikan lahiriah yang ada padamu,
Kau sanjung tinggi Adam yang terpikat dengan keindahan rupamu,
Kau tersenyum manis saat Adam melihat lenggok tubuhmu,
Tapi kau marah dan benci bila ada segelintir Adam yang menegurmu.

Adam...
Kadangkala kekacakan yang ada padamu,
Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,
Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,
Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati.

Hawa...
Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,
Kau harus ambil kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,
Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam,
Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.

Adam...
Kata-kata manis nistamu bisa menggoda hati Hawa,
Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,
Lembutmu dalam berkata membuatkan Hawa senang mendekatimu,
Sikap prihatinmu membuat Hawa tergilakan perhatianmu.

Hawa...
Sikapmu yang tidak endah menjadikan Adam berani terhadapmu,
Berani mengambil kesempatan untuk menyentuh maruahmu,
Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu,
Hingga kau pun hanyut dalam dunia cinta palsu.

Adam...
Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,
Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,
Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsumu,
Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.

Hawa...
Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,
Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,
Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi,
Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.

Oleh itu Adam...
Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,
Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,
Kau harus teruskan perjuanganmu menentang hawa nafsumu,
Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.
Adam...

Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani,
Supaya Hawa takut untuk menggoda dan mendekati,
Supaya syaitan tidak membisikkan godaan nafsu durjana,
Agar kau bisa menjadi pemimpin dan ketua yang diidami Hawa.

Begitu juga Hawa...
Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,
Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,
Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci,
Agar kau suci terpelihara saat Adam menyuntingmu.

Hawa...
Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,
Namun...itu bukanlah yang Adam harapkan,
Adam mengharapkan Hawa yang berpegang teguh pada agama sebagai penyuci kalbu,
Adam juga menginginkan Hawa yang sopan dan memelihara aurat dalam berpakaian.
Dan
Untukmu Adam :
Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam agama yang bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan dan nafsu yang boleh membinasakan.
Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa.
Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara maruah diri untuk orang tercinta yang sah bergelar isteri.
Jadilah juga Adam yang boleh menjadi ketua keluarga, imam dalam solat berjemaah dan pemimpin agama seperti yang diingini oleh Hawa.
Untukmu Hawa :
Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak terpuji dan baik hati. Jadilah Hawa yang menjaga aurat dan maruah diri dari sewenang-wenangnya dilihat ajnabi.
Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk seorang yang sah bergelar suami.
Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri yang solehah serta hamba Allah yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidamkan oleh Adam.